Rakyat Rindu Najib Jadi Perdana Menteri - Armand Azha


Umno tidak boleh menafikan bahawa fenomena 'Bossku' yang dicetus Najib Razak berjaya menarik sokongan rakyat terhadap parti itu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah, berkata fenomena itu adalah manifestasi kepada kebangkitan bekas perdana menteri itu.

"Ramai rakyat rindu Najib jadi perdana menteri kerana dasar-dasar yang telah dilaksanakan beliau ketika memimpin kerajaan.

"Fenomena 'Bossku' tidak boleh ditolak, tanpa perlu arahan ataupun kerahan, mereka yang memberi sokongan kepada Najib adalah secara 'organik', rakyat nampak Najib menjadi mangsa fitnah.

"Fenomena ini bagi saya telah berjaya menarik sokongan atas pagar untuk melihat dan menilai antara BN dan PH, mana lebih baik," katanya kepada Malaysiakini.

Fenomena 'Bossku' sebelum ini turut dikatakan menjadi antara salah satu faktor yang menyumbang kepada kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih pada Mac lalu.

Najib sebelum ini berkata, fenomena itu tidak dirancang dan ia menjadi tular kerana ia selari dengan jiwa dan keinginan anak muda.

Katanya, slogan itu merupakan simbol bahawa anak muda ingin BN perjuangkan perkara yang dekat di hati mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai Muafakat Nasional antara Umno dan PAS, Armand yakin kerjasama sama itu akan kekal utuh.

Armand yang juga ketua Umno Subang itu berkata, Umno melalui perubahan landskap politik mengikut kehendak rakyat dan lebih terbuka.

"Isu tak puas hati, pertembungan itu adalah asam garam, kita meraikan perbezaan dan tindakan diambil secara musyawarah.

"Begitu juga dalam soal kerjasama Umno, PAS. Tidak ada isu berbangkit, bahkan ahli akar umbi kedua-dua parti cukup senang dengan kerjasama ini," katanya. - Malaysiakini