Patah Balik Selamatkan Polis


MADRID - Tiga pegawai polis Sepanyol yang tercampak ke dalam laut diselamatkan anggota kumpulan pengedar dadah dalam kejadian lewat petang semalam.

Situasi dianggap 'pelik bin ajaib' itu berlaku selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika aksi kejar mengejar dengan penjenayah terbabit di luar pantai selatan Sepanyol.

"Semasa aksi kejar mengejar itu, kedua-dua bot bertembung menyebabkan tiga anggota polis tercampak ke dalam laut.

"Namun mereka ditarik keluar dari laut oleh empat penjenayah tanpa mengalami sebarang kecederaan," kata jurucakap polis.

Bagaimanapun, polis berkata, kesemua penjenayah berkenaan tetap ditahan dan bakal dibawa ke muka pengadilan.

"Mereka ditahan kerana mengedar dadah. Kami menemui lebih 80 bungkus dadah jenis kanabis yang terjatuh di atas permukaan laut," katanya. - Sinar Harian