Kita Kena Sayang Semua Haiwan - Nabila Huda


Nabila Huda beranggapan banyak lagi masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat perlu diambil kira berbanding memperbesarkan isu dia berswafoto bersama anjing.

Pelakon itu berkata, semakin ramai anak-anak muda lebih berani menayangkan perbuatan seperti menyentuh bukan muhrim di media sosial tanpa segan silu yang sewajarnya perlu ditegur.

“Yang bukan muhrim berpegangan tangan, peluk cium dalam Instagram tu bukankah sepatutnya isu lebih penting untuk dibahaskan?” Soalnya.

Jelas Nabila, 34, tujuan dia memuat naik gambar bersama baka Husky Siberia itu hanyalah untuk berkongsi kegembiraan selain menunjukkan sikap kasih sayang terhadap segala jenis haiwan termasuk anjing.

“Anjing tu ialah makhluk Allah dan kita kena sayang semua haiwan.

"Saya rasa tiada masalah sekiranya kita sebagai hamba Allah sayang dengan segala haiwan di muka bumi ni,” katanya.

Nabila ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2019 yang diadakan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.

Pada majlis berkenaan, aktres itu berjaya membawa pulang trofi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik melalui drama Dia Tidak Berdosa.

Sewaktu bercuti ke New Zealand baru-baru ini, Nabila memuat naik gambar dia bersama Husky Siberia itu di laman Instagram diiringi tulisan: “Bertenang, saya dah cibuk muka dan sertu.”

Perkongsian itu mendapat perhatian umum termasuk peserta program realiti Pencetus Ummah(PU) Syed yang kemudian menyelar tindakan anak vokalis kumpulan Search, Amy itu berswafoto bersama anjing.

Dia juga mendakwa perbuatan Nabila itu boleh mendatangkan fitnah selain akan membawa pengaruh buruk kepada kepada umat Islam.

Mengulas lanjut, kata Nabila, dia sedikit pun tidak berniat dan langsung tidak menyangka perbuatannya itu akan membawa pengaruh tidak baik kepada pengikutnya yang beragama Islam.

“Kalau anjing tu basah, sertulah, tapi saya kering dan haiwan tu juga kering. Saya juga sudah jelaskan sudah sertu.

“Saya juga tak rasa akan jadi ikutan sedangkan kalau di Malaysia, orang Melayu nampak anjing lalu saja terus lari,” katanya. - Malaysiakini