AKARTA: Sebuah ajaran sesat di Indonesia tumpas berikutan penahanan seorang warga emas yang mengaku dirinya seorang rasul.
Dalam kejadian di Sulawesi Selatan, warga emas berusia 74 tahun itu yang kini dalam tahanan pihak polis telah meyakinkan pengikutnya bahawa ajaran yang dibawa boleh membuatkan pengamalnya masuk ke syurga dengan mudah.
Lebih memeranjatkan, ajaran dikenali sebagai aliran Tarekat Tajul Khalwatiyah Tariq Sheikh Yusuf itu juga akan memberikan kad syurga kepada pengikutnya, namun wajib membayar sebanyak Rp10,000 (RM3) dan Rp50,000 (RM15) untuk mendapatkan kad yang mengesahkan mereka menjadi ahli aliran tersebut.
Menurut polis Indonesia, warga emas yang menganggap dirinya sebagai seorang mahaguru itu juga berjaya memperdaya pengikutnya dengan kata-kata kononnya dia mampu memanjangkan umur seseorang, lapor Tribun Gowa.
"Semua pengikut juga dikehendaki membayar zakat berdasarkan berat badan iaitu 1 kilogram bersamaan dengan RM1.50 dan mereka juga perlu membayar zakat maal atau aset yang bernilai 2.5 peratus daripada hasil pendapatan mereka.
"Dia kini didakwa atas pelbagai tuduhan seperti penipuan, pencacatan nikah, talak dan rujuk, menghina agama dan pengubahan wang haram dan modus operandinya hanyalah untuk menyesatkan pengikutnya.
"Para pengikutnya dijanjikan keselamatan dunia dan akhirat, namun akhirnya agama sesat ini tumpas dan kini dalam siasatan pihak polis dan di samping kerjasama Majlis Ulama Indonesia, kita juga berjaya merampas 138 keping bukti dari kediaman lelaki itu," katanya.