Gara-gara jatuh cinta dengan guru sendiri, seorang pelajar berusia 16 tahun sanggup menikam wanita itu dalam kejadian di rumah mangsa di daerah Bantul, Indonesia semalam.
Menurut Ketua Polis Srandakan, Muryanto, kejadian disedari selepas terdengar jeritan meminta tolong Wening Pamuji Asih, 35, dari dalam biliknya sekitar jam 8.30 malam (waktu tempatan).
Ketika suami dan ibu mentuanya masuk ke bilik mangsa, Wening ditemukan berlumuran darah dengan terdapat kesan luka tikaman di bahagian dada berukuran kira-kira 3 sentimeter (sm) lebar dan 7 sm panjang.
"Suspek masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu belakang. Ketika diserang, wanita tersebut sedang tidur," kata Muryanto.
Difahamkan, remaja terbabit meninggalkan senjata berupa pisau dapur di tempat kejadian dan dengan bukti tersebut pihak berkuasa berjaya menahan suspek di rumahnya di daerah Lendah, Kulon Progo pagi tadi.
Ketika disoal siasat, remaja itu mengaku menikam gurunya kerana telah jatuh cinta terhadap wanita berkenaan.
Suspek didakwa di bawah Artikel 351 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian