Dia Sempat Pandang Kami, Angkat Tangan Seperti Mahu Beritahu Akan Meninggalkan Kami




KUALA LUMPUR: Pelawak Ali Puteh atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 30, yang kehilangan anak kedua, Sharifah Nur Ainul Mardiah, semalam kerana masalah jantung, reda dengan pemergian puterinya itu.

Ali berkata, tiada ibu bapa yang ingin kehilangan anak, namun dia reda Ainul pergi daripada melihat anak kecilnya itu terus menanggung derita.

Ainul menjalani pembedahan membetulkan injap dan menutup tiga lubang pada jantungnya pada 10 November lalu di Hospital Serdang. Sejak itu, arwah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Selepas 16 hari, doktor yang merawatnya membuat keputusan mencabut mesin itu jam 10 pagi, semalam. Ainul menghembuskan nafas terakhir, jam 11.30 pagi.

“Ketika tiba di hospital jam 9 pagi, semalam, Ainul seolah-olah tahu dia akan pergi. Dia sempat memandang kami dan mengangkat tangan beberapa kali seperti mahu beritahu akan meninggalkan kami.

“Selepas lebih sejam bertarung nyawa, Ainul pergi buat selama-lamanya. Kami hanya mampu menangis apabila doktor memaklumkan, Ainul sudah tiada.

“Ketika jenazah dikafankan, saya beri peluang kepada anak sulung mencium adiknya. Saya beritahu, Ainul sedang tidur dan akan pergi ke syurga.

“Saya dan isteri reda kerana sejak minggu lalu, doktor meminta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan, memandangkan keadaan kesihatan Ainul tidak menentu,” katanya.

Biarpun berat menerima berita itu, Ali dan isterinya, Melati Puteri Abdullah, bersyukur sempat menjaga Ainul selama tiga bulan ‘dipinjamkan’ kepada mereka.

Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, selepas Asar.

Selain Ainul, Ali dan pasangannya turut mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu Sharifah Nur Aaira Qaireen yang berusia dua tahun. - Berita Harian Online