Indonesia -Mukhlis Muhammad yang berkhidmat untuk badan yang membantu mendraf hukum hudud dan takzir di Aceh - disebat di khalayak ramai atas kesalahan berkhalwat dengan isteri orang.
Mukhlis Muhammad dari Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh disebat 28 kali manakala pasangannya disebat 23 kali semalam. “Ini undang-undang tuhan.
“Semua orang harus disebat jika terbukti salah, walaupun dia anggota MPU,” kata Husaini Wahab, timbalan datuk bandar Aceh Besar kepada BBC News Indonesia.
Mukhlis dan wanita itu ditangkap melakukan kesalahan itu September lalu dalam kereta yang diletakkan dekat sebuah pantai tumpuan pelancong.
Dia adalah pemimpin agama pertama disebat secara terbuka sejak undang-undang syariah dikuatkuasakan di Aceh pada 2005.
Media Indonesia melaporkan Mukhlis bertugas sebagai seorang imam.
Aceh mendapat kebenaran Jakarta melaksanakan undang-undang Islam lebih sedekad lalu.
Pada 2017, dua lelaki disebat 83 kali di Aceh selepas ditangkap melakukan seks sejenis.
Mengikut undang-undang syariah wilayah itu, hukuman sebat hendaklah dibuat secara umum. Kanak-kanak bagaimanapun tidak dibenarkan melihatnya.
Undang-undang itu terpakai untuk setiap orang, termasuk bukan Islam. - Malaysiakini