SANDAKAN: Satu rakaman video tiga nelayan Indonesia yang mendakwa mereka diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu, pada September lalu, dimuatnaik ke laman sosial Facebook pada Jumaat.
Dalam video berdurasi kira-kira 44 saat itu memaparkan tiga lelaki duduk mencakung tanpa baju, dengan salah seorang daripada mereka bercakap dalam Bahasa Malaysia merayu supaya dibebaskan.
“Kami adalah warganegara Indonesia…Kami bekerja di Malaysia …Kami kena tangkap kumpulan Abu Sayyaf pada tanggal 24 September 2019…Saya harap bos kami membantu kami untuk membebaskan kami…dan juga kepada presiden Republik Indonesia, tolong kami supaya kami bebas dari sini.
“Dan kumpulan Abu Sayyaf meminta tebusan 30 juta peso (RM2.47 juta) agar kami dapat kembali ke Indonesia,” itu antara petikan kata-kata salah seorang lelaki dalam video berkenaan.
Mangsa-mangsa berkenaan dilaporkan dikenali sebagai Maharudin Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27.
Mereka merupakan warga Indonesia yang bekerja sebagai nelayan di Malaysia.
Terdahulu, pada September lalu, semua mangsa itu dipercayai diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Lahad Datu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi pada Sabtu berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung video berkenaan dan akan menjalankan siasatan lanjut. - Astro AWANI