GEORGETOWN - Tampar kepala dan hentak bayi ke lantai, itu antara perbuatan seorang wanita terhadap bayi melalui dua video berdurasi empat dan tujuh saat yang tular di media sosial hari ini.
Perbuatan wanita yang dikatakan pengasuh kepada bayi berusia enam bulan itu akhirnya membawa padah selepas dia ditahan polis pada Rabu lalu.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis menerima laporan mengenai video berkenaan daripada seorang kerani bank selepas dia menerima video berkenaan daripada rakannya.
Menurutnya, wanita terbabit mendakwa dia tidak mengenali ibu bapa bayi berkenaan dan membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan bayi berkenaan.
"Wanita itu memberitahu yang rakannya mengirim video berkenaan kerana tidak mahu dia menghantar anak ketiganya kepada pengasuh terbabit berikutan bimbang diperlakukan seperti bayi itu.
"Siasatan yang dilakukan berjaya menahan pengasuh bayi berkenaan yang berusia 34 tahun dan wanita itu mengakui dia adalah individu dalam rakaman video berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.
Che Zaimani berkata, suspek memberitahu dia memang agak kasar dengan mangsa namun tidak mempunyai niat mahu mendera atau mencederakan bayi berkenaan.
Katanya, suspek juga mendakwa tidak ingat bila kejadian itu berlaku.
"Kita juga telah mengambil keterangan daripada ibu bayi terbabit yang memberitahu anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan setiap kali diambil dari rumah pengasuh.
"Ibu bayi itu juga mengatakan anaknya dalam keadaan sihat dan tiada kesan lebam ditemui di badannya," katanya.
Mengulas lanjut, Che Zaimani berkata,bayi itu telah dihantar untuk pemeriksaan di hospital namun doktor mendapati tiada kesan akibat didera atau dipukul.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001. - Sinar Harian