Akur dengan suratan tertulis, Hafreez bagaimanapun menjelaskan, mereka berpisah secara baik.
“Jumaat lalu, kami berbincang menerusi aplikasi WhatsApp dan sepakat untuk meleraikan persoalan mengenai hubungan kami, hari ini.
“Masing-masing tidak mahu berterusan mengundang apa sahaja rasa yang kurang enak, sejak kebelakangan ini. Kami putus pun dengan cara yang baik. Saya dan Zara tidak bergaduh.
“Cukup saya katakan, tiada lagi persefahaman dalam hubungan yang sekian lama terjalin ini. Tiada jodoh antara kami,” katanya kepada portal BH Online.
Sebelum ini, pelbagai spekulasi muncul apabila Hafreez dikatakan tidak lagi mengikuti Zara di Instagram, selain memadamkan gambar mereka berdua.
Jelas Hafreez, buat waktu ini dia lebih selesa memberikan ruang untuk diri masing-masing, sekali gus mengelak daripada bertembung atau digandingkan dalam mana-mana drama.
“Buat seketika dan waktu terdekat ini, saya cuba mengelak untuk bertemunya. Saya juga tidak mahu detik sebegitu membuatkan kami berdepan sebarang tekanan daripada pihak luar.
“Saya percaya, masing-masing memerlukan ruang untuk melawan apa sahaja perasaan yang bertamu. Kita tak tahu, selepas berita ini didedahkan, kecaman dan tekanan mungkin bertandang tanpa diduga,” katanya.
Sebagai lelaki yang pernah bertakhta di hati Zara, Hafreez mendoakan yang terbaik buat bekas tunangnya itu.
“Siapa sahaja jodohnya selepas ini, saya akan mendoakan yang terbaik dari kejauhan. Saya turut mengharapkan pengertian peminat kami, untuk sama-sama mendoakan yang baik-baik.
“Kalau boleh, usahlah bertelagah atau membuat apa-apa pertikaian selepas kami tidak lagi bersama. Teruslah menyokong diri dan kerjaya seni kami,” katanya.
Terdahulu, ketika diminta mengulas mengenai kehambaran hubungan mereka, Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 34, menjelaskan ia bukan disebabkan kehadiran orang ketiga.
“Sama seperti pasangan lain, kami juga berdepan dugaan ketika menempuh alam pertunangan,” ujar Zara.
Pasangan yang berkenalan ketika bergandingan dalam drama Monalisa pada 2017 itu mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu.
Kedua-dua mereka merancang mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun depan. - Astro AWANI