Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Nur Ammir Zul, 26, disengat serangga berbisa itu ketika duduk menunggu tempahan perkhidmatan bot kendaliannya.
Mangsa kemudian dibawa oleh abangnya, Nur Amri, 32, ke Hospital Kem Terendak, Sungai Udang untuk menerima rawatan kecemasan selepas hampir pengsan menahan kesakitan.
Katanya, ketika kejadian, dia mengawasi rakannya mengendalikan bot membawa 10 pelanggan sebelum merasakan kesakitan melampau pada bahagian belakang kiri badannya.
“Tiba-tiba saya berasa belakang saya sangat sakit dan ketika saya meraba tempat itu, saya terasa seolah-olah terpegang semut besar tetapi saya tidak sempat melihatnya kerana saya terus menepisnya dengan kuat.
“Badan saya menggeletar kesakitan tetapi saya menggagahkan diri menunggang motosikal pulang ke rumah sebelum meminta abang saya segera menghantar saya ke hospital,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Sementara itu, Nur Amri berkata, setibanya di wad kecemasan hospital berkenaan, adiknya diberikan rawatan kecemasan dan doktor mendapati degupan jantung adiknya berada pada tahap perlahan.
“Saya lihat tangan dan wajahnya berbintik bintik merah seperti ruam manakala tubuhnya semakin lemah tetapi saya bersyukur kerana Allah menyelamatkannya daripada bahaya yang lebih teruk.
“Hanya selepas empat jam diberikan rawatan, barulah adik saya kembali bertenaga dan dibenarkan pulang tetapi dia masih dalam keadaan sangat lemah,” katanya. - Berita Harian Online