AMPANG: Seorang juruanalisis pendataan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia enam tahun dengan menyuruh mangsa memegang kemaluannya.
Tertuduh berusia 33 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia enam tahun tujuh bulan dengan menyuruh mangsa memegang kemaluannya bagi maksud seksual di dalam bilik tidur, di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Fasa 3, di sini, pada 11 Disember lalu, jam 4.30 petang.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mangsa dalam kes ini adalah kanak-kanak dan membabitkan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Kanak-kanak dalam kes ini adalah anak saudara tertuduh dan kebarangkalian untuk tertuduh mengganggu mangsa adalah tinggi kerana kedua-keduanya mempunyai hubungan kekeluargaan,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Kalvinder Singh Sidhu memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan sudah berkahwin dan isteri sedang hamil empat bulan selain berdepan komplikasi kehamilan.
“Tertuduh juga bekerja sepenuh masa dan sekiranya tidak dibenarkan ikat jamin akan menyebabkan beliau kehilangan pekerjaan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan dilarang berhubung dengan mangsa, selain perlu melaporkan diri di Balai Polis Ampang Jaya pada setiap bulan.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 31 Januari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. - Berita Harian Online