Dalam kejadian jam 3.05 pagi itu, remaja berusia 15 tahun memandu kereta Perodua Kancil bersama dua rakannya termasuk seorang perempuan yang berusia 15 dan 17 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata ketika kejadian anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu membuat rondaan sebelum terserempak dengan kereta yang dinaiki tiga rakan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, MPV polis mengikut dari belakang dan meminta mereka berhenti tetapi tidak diendahkan sebelum kereta dinaiki tiga remaja itu membuat pusingan U secara tiba-tiba menghala ke Kota Bharu untuk melarikan diri.
“Anggota kita mengejar mereka dan pada masa sama memberi amaran supaya berhenti beberapa kali sebelum MPV memintas kenderaan suspek dan seorang anggota polis turun.
“Kereta terbabit cuba merempuh anggota polis sebelum anggota kita mengundur dan terjatuh,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hasanuddin berkata, bagi mengelak dilanggar, anggota polis berkenaan melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta terbabit.
“Anggota kita kemudiannya memecahkan cermin bahagian pemandu kerana mereka enggan membuka pintu.
“Selepas dibuat pemeriksaan, kita mendapati pemandu kereta cedera di bahagian bahu kiri dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil.
“Polis menahan tiga remaja itu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. - Berita Harian Online