Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Dr Mahathir juga menafikan Kerajaan Malaysia merupakan dalang di sebalik kenyataan akuan bersumpah (SD) yang dikeluarkan Azilah mengenai dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes itu.
“Hari ini banyak media melaporkan Dr Mahathir tersenyum dan menggelengkan kepalanya apabila ditanya sama ada beliau pernah berjumpa dengan Azilah atau tidak. Soalan itu timbul di penghujung sidang media susulan pelancaran Bandar Malaysia di Putrajaya, semalam.
“Ada juga cubaan untuk membayangkan Dr Mahathir merupakan ‘VVIP’ (orang kenamaan), yang didakwa mengadakan perjumpaan dengan Azilah, yang bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati, di Penjara Kajang, pada Februari lepas,” menurut kenyataan itu lagi.
Semalam, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mendakwa Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu seorang VVIP Februari lalu.
Muhammad Shafee turut mendakwa, Azilah telah menerima tawaran daripada seorang pemimpin politik untuk meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup sekiranya membuat SD berkenaan.
Dalam pada itu Pejabat Perdana Menteri berkata, Dr Mahathir turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia merupakan ‘dalang’ di sebalik pengeluaran SD berkenaan.
“Memandangkan kes ini melibatkan proses perundangan, Kerajaan akan membiarkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan tindakan yang seterusnya,” menurut kenyataan itu lagi. - Astro AWANI