Mangsa yang dikenali sebagai Santi, 36, ditemui kenalannya, Ahmad Arfie, 54, kira-kira 2.30 petang ketika lelaki terbabit ke rumah mangsa untuk mengambil dokumen pengenalan diri dua anak wanita itu.
Ahmad berkata, suami mangsa menghantar dua anak pasangan itu yang berusia lapan dan 10 tahun ke rumahnya kira-kira jam 9 pagi Ahad lalu.
Polis menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat wanita di dalam timbunan pakaian di Taman Selasih. - NSTP/Ihsan Pembaca
Bagaimanapun, katanya, mangsa dan suaminya tidak datang menjemput anak mereka walaupun hari sudah beransur malam.
“Saya ke rumah mangsa jam 11 malam, namun rumahnya gelap manakala panggilan telefon tidak dijawab,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ahmad kemudian ke rumah sewa mangsa keesokannya untuk mengambil pakaian kedua-dua anak mangsa.
Katanya, rumah mangsa tidak berkunci dan sebaik masuk, beliau terhidu bau busuk namun tidak mengesyaki apa-apa.
Beliau membuat laporan polis hari ini selepas kedua-dua kanak-kanak itu belum diambil ibu bapa mereka.
“Polis meminta saya mendapatkan dokumen pengenalan diri anak mangsa dan ketika saya ke rumah sewa mangsa, bau busuk itu semakin kuat.
“Saya cuba mencari punca bau busuk itu sebelum menemui timbunan kain di bilik tengah dengan beberapa kesan tompokan darah.
“Ketika menyelak timbunan kain itu, saya terlihat tangan mangsa dan terus membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari, berkata mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 72 jam.
Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa, selain tiada senjata ditemui.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita giat mengesan waris mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.