Ini kali pertama seorang menteri Kabinet secara terbuka mengumumkan langkah seumpama itu di Jepun.
Shinjiro Koizumi, 38, mengumumkan perkara itu pada mesyuarat kementerian dengan alasan sukar untuk mengimbangi tugas sebagai menteri dan keinginan untuk bersama bayinya.
“Saya mahu mengambil cuti dua minggu secara fleksibel,” katanya sambil berharap keputusan itu akan dapat membantu mengubah persepsi dan menggalakkan bapa lain mengikut langkahnya.
Bagaimanapun Koizumi berkata, beliau tidak akan mengambil cuti secara berturut-turut dan bersedia bekerja dari luar pejabat atau memendekkan waktu bekerja sepanjang tempoh tersebut.
Jurucakap kerajaan yang menyokong langkah itu berkata, amat penting untuk mencipta suasana bekerja yang kondusif dan penerimaan sosial serta sokongan untuk lelaki yang meminta dan mengambil cuti bersalin.
Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata, beliau berharap keputusan Koizumi akan memberi kesan positif terhadap sikap bapa dalam mendidik anak.
Menurut kajian, 35 peratus suami di Jepun tidak merebut peluang cuti bersalin kerana lebih cenderung memikirkan soal kerja dan kewangan keluarga. - AFP