Anak perempuan mangsa, Chunya Sittiwichai, yang menceritakan pengalaman mengerikan ibunya itu menerusi akaun Facebooknya berkata, ular yang bersembunyi di dalam tandas itu menggigit peha ibunya secara tiba-tiba ketika sedang 'menunaikan hajat' (buang air besar).
Terkejut dengan situasi itu, ibu Chunya cuba menarik kepala ular tersebut tetapi ia hanya menyebabkan reptilia berkenaan terus mengeras, sekali gus mengakibatkan lebih banyak pendarahan berlaku.
Susulan itu Chunya yang mendengar jeritan ibunya terus meluru ke bilik air bersama pisau dan tukul untuk menyelamatkannya.
"Ibu saya cuba memotong badan ular itu tetapi kulit haiwan tersebut terlalu keras sehingga menyebabkan dia terpotong kulitnya sendiri sedalam tiga sentimeter.
"Malah, ibu saya hampir tidak sedarkan diri ketika ular itu terus membelitnya," tulis Chunya Sittiwichai.
Tambah gadis Thailand itu, ibunya terus mengetuk kepala ular tersebut di atas lantai sementara anak lelakinya bertindak mengetuk reptilia itu dengan tukul sehingga mati.
Keluarga mangsa terus membawa keluar wanita terbabit sebelum mengunci bangkai ular tersebut di dalam tandas tersebut.
Wanita berkenaan bagaimana pun selamat setelah dikejarkan ke hospital dan mendapat beberapa jahitan. - Astro AWANI