Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, dan pasangannya yang merupakan seorang guru, 29 tahun, lengkap mengenakan busana songket berwarna biru gelap yang direka oleh pereka fesyen Jimmy Couture.
Majlis berinai yang diadakan dengan penuh adat tradisi Melayu itu mengambil inspirasi Cik Siti Wan Kembang sebagai tema.
Lebih 150 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga, sahabat handai dan media berpeluang menyaksikan malam yang penuh bersejarah buat pasangan tersebut.
Bukan itu sahaja, Elly dan bakal suami yang mesra dipanggil 'papa awan nano' itu turut dipersembahkan dengan persembahan silat dan tarian tradisional.
Pasangan yang disifatkan bagai pinang dibelah dua itu akan ijab kabulkan sebagai suami isteri di lokasi yang sama pada Sabtu dan akan bersanding di atas pelamin di majlis resepsi, pada hari yang sama.
Terdahulu, Elly mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya itu di Dewan Tun Hussein Onn, di lokasi yang sama pada 17 Disember tahun lalu.
Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah drama tempatan, Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun bercerai pada 15 Oktober 2015.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Putri Sara Sefhia yang kini berusia empat tahun. - Astro AWANI