Anak anda mungkin boleh terdedah kepada risiko bahaya dan jenayah seksual!
Itu kata-kata peringatan pelayar Facebook dikenali Ihsan Zainal yang boleh dijadikan teladan buat insan lain.
Ihsan berkata, anak perempuannya hampir menjadi mangsa culik apabila seorang individu tidak dikenali datang ke sekolah untuk menjemput anaknya semalam.
Bagaimanapun guru bertindak cepat dengan menghalang individu tersebut ekoran mengenali isteri dan dirinya.
"Ketika isteri saya nak jemput balik anak saya seorang ini, tetiba ntah mana seorang itu memakai baju kemas nak jemput anak saya...dengan hanya terbalikkan namanya, rasanya 'try and error' kot...
"Kebetulan isteri ada di belakang dia turut terdengar nama anak kami. Namun nasib baik cikgunya mengenali isteri saya. Sekolah baru mana cikgu nak ingat semua muka mak ayah tapi sebab abang dia pernah belajar situ jadi muka kami ni memang tak asing bagi mereka.
"Cikgunya menahan dan berkata awak bukan ibu bapanya," luahnya.
Susulan itu, individu itu secara tiba-tiba memberitahu tersilap sekolah dan pantas beredar dari sekolah.
Kata Ihsan, insiden itu telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan tertinggi sekolah dan mengambil serius perkara tersebut.
"Saya harap agar mak ayah sentiasa peka dengan perkara ini.
"Elak berkongsi nama anak, nama sekolah di media sosial, macam-macam boleh terjadi. Mungkin bukan kerana budak tapi mungkin kerana perasaan lain terhadap mak ayah ke boleh jadi," katanya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen mengucapkan rasa syukur selain menitipkan ribuan terima kasih di atas perkongsian yang cukup bermanfaat.
Ameera Azreen berkata, "Kemungkinan taktik baru culik anak."
"Wow, serius bahaya, hati-hati," kata Zulfadhli. - Sinar Harian