Empat lagi mangsa dilaporkan cedera parah apabila penyerang melepaskan tembakan sesuka hati dalam kejadian di wilayah Lopburi, malam tadi, sebelum melarikan diri dengan barang kemas bernilai 500,000 baht (RM67,295).
Polis memberitahu, dua mangsa yang turut terbunuh adalah pengawal keselamatan dan seorang jurujual.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bagaimana penyerang datang ke kedai dan melepaskan tembakan, diikuti dengan mangsa yang mengerang kesakitan di lantai.
Timbalan komander Sumeth Punsri berkata, insiden terbabit berlaku begitu pantas, lebih kurang seminit sebelum perompak itu melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal.
Susulan kejadian, pihak berkuasa menawarkan ganjaran berjumlah 100,000 baht (RM13,481) untuk sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.
Thailand mempunyai kadar pemilikan senjata api yang tinggi dan kejadian itu adalah jenayah terkini membabitkan penggunaan peralatan seumpama itu.
Beberapa kejadian tembakan di bangunan mahkamah tahun lalu turut meningkatkan kebimbangan mengenai kes jenayah membabitkan senjata api.
Dalam satu kes berprofil tinggi, dua peguam maut ditembak seorang kerani di sebuah mahkamah di timur negara itu, susulan kes pertelingkahan mengenai tanah. - Berita Harian Online