Kejadian itu dirakam papan pemuka sebuah kenderaan yang berada di lampu isyarat.
Paparan tersebut menunjukkan lelaki berkenaan menggunakan telefon semasa berjalan kaki ketika melintas jalan raya tanpa menoleh kiri dan kanan nyaris dirempuh sebuah lori yang mahu membelok ke kanan.
Panik melihat lori menghampirinya, lelaki itu cuba menahan lori berkenaan dengan tangannya sebelum dia tercampak dan pemandu lori membrek secara mengejut.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada lelaki tersebut cedera parah atau sebaliknya.
Video dimuat naik di Twitter MyWatch setakat jam 4.45 petang itu ditonton seramai 17,700 pelayar Twitter dan tular di laman sosial.
Status di Twitter itu turut mengingatkan orang ramai supaya peka kepada persekitaran terutama ketika melintas jalan, "Menggunakan telefon pintar sewaktu melintas jalan melambangkan kita ini tak pintar. Mujur tak arwah."
Seperti sedia maklum, perkara ini bukanlah yang pertama dan pastinya bukan yang terakhir, jika pengguna telefon pintar terus lalai dengan keadaan sekitar.
Orang ramai harus memastikan keadaan sekitar agar sentiasa selamat sebelum menggunakan telefon pintar, luah rata-rata netizen.
"Ini sangat berleluasa di Singapura, walaupun mereka berada di lintasan zebra ketika melintas jalan namun mereka berjalan terlalu lambat. Ia boleh mengundang bahaya jika lampu isyarat bertukar warna hijau namun masih ada segelintir individu berjalan di lintasan zebra dan melihat telefon," kata Michael.
Kata Qistina, "Kalau tak insaf tak tahu la." - Sinar Harian