Ibunya, Zuridah Sadon, 40, berkata anak keenamnya, Sarah Nur Maryam yang lebih mesra disapa Maryam perlu menjalani pembedahan hati dengan segera.
Menurutnya, anaknya itu dikesan menghidap penyakit biliary atresia selepas mendapat rawatan di hospital sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya ( PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur.
"Akibat penyakit ini, Maryam sering merengek dan kurang tidur malah berat badannya juga mencecah 8kg (kilogram)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rengit Jaya di sini, semalam.
Zuraidah berkata, dia diberitahu sekiranya mahu melakukan pembedahan hati di dalam negara kosnya dianggarkan mencecah RM160,000 manakala di China sebanyak RM250,000.
Katanya, dia dan suami (Sulaiman Misri, 51) tidak pernah berputus asa mencari penawar bagi menyembuhkan anaknya biarpun suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang elektronik di Pekan Rengit Batu Pahat.
"Saya selalu tonton televisyen, tengok ada bayi yang pulih selepas menjalani pembedahan hati. Itu memang impian saya dan suami.
"Maryam segalanya buat kami sekeluarga," katanya.
Zuraidah berkata, kini dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sebagai operator pengeluaran kilang bagi memberi tumpuan sepenuhnya menjaga anaknya.
Dia berkata, dia berharap keluarganya dibantu memandangkan hanya suaminya yang bekerja bagi menampung kos perubatan Maryam dan empat lagi orang anak yang masih bersekolah.
"Anak sulung berumur 18 tahun bekerja di pasar raya sementara menunggu keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Yang lain berusia 17, 9, 8 dan 4 tahun masih bersekolah," katanya.
Sementara itu, Ecxo Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Malik Faishal Ahmad berkata, pihaknya akan mendapatkan perhatian daripada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bagi menimbang bantuan sewajarnya kepada adik Maryam.
Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank (15115574 2704) atas nama Zuridah. - Sinar Harian