Noor Asyrul adalah anak bongsu, Haziah Yeap Osman, 58, yang disyaki dibunuh dengan mayatnya ditemui tertiarap di atas lantai bersebelahan katil di bilik tidur utama rumahnya di Taman Sutera Idaman, Sungai Petani, hari ini.
Noor Asyrul berkata, kali terakhir dia menghubungi ibunya adalah pada jam 1 petang semalam kerana arwah mahu berbual dengan dua cucunya.
“Saya sempat bersembang bersama ibu dan dia kelihatan biasa sahaja, namun gembira dapat berbual dengan anak saya.
“Dia tinggal seorang diri sejak dua tahun lalu selepas berpisah dengan ayah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Noor Asyrul berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa ibunya pada jam 11 pagi tadi kerana berada di rumah mentuanya di Perak dan kawasan itu tiada liputan talian telefon.
Katanya, sebaik keluar ke pekan terdekat, dia menerima banyak pesanan WhatsApp dari ahli kelurga mengatakan, ibunya sudah meninggal dunia.
“Memang sedih dan terkejut apabila kejadian ini berlaku pada ibu, tetapi kami sekeluarga tetap reda.
“Saya menetap di Ipoh, Perak dan bergilir ke rumah ibu dan ayah. Ibu memang tak pernah cerita dia ada musuh atau ada orang tak puas hati dengannya,” katanya.
Kata Noor Asyrul, ibunya hanya menghidap penyakit buah pinggang dan kencing manis, namun masih mampu mengasuh kanak-kanak bagi menampung kehidupannya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 itu, mayat Haziah ditemui selepas bapa kepada anak asuhannya mencurigai sesuatu selepas panggilannya tidak disahut ketika mahu menghantar anaknya. - Berita Harian Online