Pengarahnya Zulkarnain Yasin berkata, ini kerana Terengganu mencatatkan peningkatan ketara kes melibatkan kesalahan tidak memakai topi keledar, dalam tempoh dua bulan tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
"Pada Januari tahun ini, 56 kes tidak memakai topi keledar telah dicatatkan dan jumlah tersebut meningkat kepada 301 kes pada Februari. Manakala bagi tempoh sama 2019, 52 kes dicatatkan pada Januari dan meningkat kepada 108 kes bagi bulan Februari.
"Kebanyakan kes yang direkodkan berlaku di kawasan kampung. Rata-rata penunggang yang ditahan juga menggunakan alasan hanya memandu di kawasan kampung, sebab itu mereka rasa tidak perlu pakai topi keledar.
"Tetapi mereka harus ingat aspek keselamatan diri dan undang-undang tidak boleh dipandang remeh," katanya pada sidang media sempena Ops Khas Motosikal Negeri Terengganu di pesisir Pantai Teluk Ketapang, di sini petang Ahad.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, 114 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam Ops Khas Motosikal Negeri Terengganu, yang dijalankan pada 9 hingga 14 Feb lepas di sepanjang jalan pesisir pantai di Kuala Nerus. - BERNAMA