Panglima Angkatan Tentara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata laporan itu palsu dan beliau menggesa semua pihak supaya berhenti menyebarkannya.
“Hebahan maklumat tidak tepat dan penularan video yang menampakkan atur gerak aset ATM di jalan raya tertentu. Ini sekaligus diangkat sebagai berita bahawa ATM atau tentera bersiap sedia untuk mengambil alih situasi terkini negara adalah berita palsu.
“Justeru, semua pihak terutama mereka yang tidak bertanggungjawab, dinasihatkan untuk berhenti menyebarkannya serta-merta," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Affendi menjelaskan, gambar serta video yang tersebar itu sebenarnya gerakan aset Tentera Darat yang menjalani latihan ketenteraan dan diperintahkan kembali semula ke kem masing-masing atas ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu.
Katanya, kepemimpinan tertinggi ATM memutuskan untuk beberapa perkara berkaitan operasi, latihan dan kursus, eksesais, pentadbiran dan logistik diperhalusi berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan.
“Perkara membabitkan latihan kenteraan ditangguh buat sementara waktu. Bagaimanapun, perkara membabitkan operasi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetap akan dilaksanakan seperti biasa.
“Jadi, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya. - Berita Harian Online