Sekumpulan gajah di wilayah Yunnan, China apabila gelagat mereka sempat dirakam untuk tatapan manusia. Seorang pengguna Reddit, ADarkcid berkongsi foto di laman itu pada Khamis memaparkan sekumpulan gajah ‘menceroboh’ sebuah kawasan perladangan di wilayah itu.
“Ketika manusia menjalani tempoh penjarakan sosial, sekumpulan 14 ekor gajah memecah masuk ke sebuah perkampungan di wilayah Yunnan, mencari jagung dan makanan lain. Sudahnya mereka meminum 30kg wain jagung dan menjadi sangat mabuk sehingga tertidur di ladang teh berdekatan,” tulisnya.
Kemudian seorang pengguna Twitter, HDS Dhaliwal memuat naik imej tersebut untuk dikongsikan bersama khalayak lain.
Dalam satu bebenang lain, seorang aktivitis alam sekitar Parween Kaswan menyatakan bahawa gajah, seperti kebanyakan manusia, ada kecenderungan terhadap alkohol dan mencarinya, dan selalunya meninggalkan tanda di mana mereka berjaya mendapatkannya supaya mereka boleh kembali di lain waktu.
Dia juga menulis, seperti juga manusia yang datang lewat ke sesebuah parti dan geram apabila minuman sudah habis, gajah juga merasakan orang mabuk adalah menjengkelkan.
“Jika mereka nampak orang mabuk, mereka akan rasa jengkel, kerana ia (minuman beralkohol) tidak dikongsi dengan mereka,” ciapnya.
Di samping berkongsi fakta menarik tentang gajah, Kaswan juga sempat menceritakan kisah derita yang dilalui gajah-gajah di China di mana spesis itu diancam kepupusan di wilayah itu.
“Hari ini hanya tinggal sekitar 250 ekor gajah di seluruh China. Pernah satu ketika gajah berada di seluruh bahagian China. Sepertimana Thomas Trauttman (dalam bukunya Elephants and Kings) mengatakan manusia pernah melancarkan perang 3,000 tahun di sini, dan gajah telah kalah. Kini di ambang kepupusan lokal,” ujarnya. - Astro AWANI