Meraih lebih 700, 000 tontonan selepas sejam video muzik dilancarkan di YouTube, Rabu lalu, lagu ciptaan mereka bersama penyanyi dan komposer Ippo Hafiz, menggambarkan perasaan Achey dan Fad terhadap arwah.
Fad mengaku menitiskan air mata kali pertama mendengar melodi lagu berkenaan.
“Ippo mengusulkan idea menghasilkan lagu ini kepada Achey. Ippo beritahu melodi dan lirik lagu ini datang secara tiba-tiba ketika berada di studio.
“Apatah lagi, ketika itu, Ippo melihat bagaimana kami dan peminat terkesan dengan pemergian arwah. Apabila mendengar melodi lagu ini, saya beritahu Achey, inilah perasaan kita terhadap Abam,” katanya kepada BH Online.
Fad berkata, dia dan Achey tidak dapat menahan sebak ketika merakamkan lagu berkenaan.
“Membaca lirik dan mendengar melodi, saya terbayang arwah. Dengarlah lagu ini, itulah perasaan kami terhadap arwah,” katanya.
Sebahagian daripada hasil penjualan single Kita Baik Ramai Sayang akan dihulurkan kepada anak, balu dan ibu Abam serta Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidi Khadijah, Gombak yang sering dibantu arwah ketika hayatnya.
Sementara itu, Ippo tidak menyangka single Kita Baik Ramai Sayang trending pada hari pertama dimuat naik di YouTube Seventeen Eleven Music.
“Nyanyian sahabat arwah memberi kesan kepada ramai peminat. Rata-rata mereka meninggalkan komen positif, sedih, pilu dan rindu terhadap arwah.
“Saya harap lagu ini akan memberi inspirasi kepada peminat untuk berdoa buat arwah, keluarga atau sahabat kita yang sudah pergi,” katanya sambil menjelaskan ungkapan ‘kita baik ramai sayang’ sering digunakan Abam ketika hayatnya.