Demikian luah Pengerusi Pekebun Kecil India Cameron Highlands, S Mathan, ketika menceritakan nasib 200 pekebun sayur dan 150 pekebun bunga di bawah persatuannya yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.
Mathan berkata, para pekebun tersepit ada bunga yang kembang dan mekar begitu sahaja di ladang tanpa boleh dipasarkan.
“Pada musim Covid-19 bunga memang tak laku, beribu-ribu kuntum bunga dibuang dan dimusnah begitu saja.
“Kalau dah kembang bunga, apa lagi yang kami boleh buat sebab tidak ada permintaan di pasaran” katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Tambah Mathan, pemusnahan sayur juga terpaksa dilakukan kerana sayur yang dituai tidak dapat dipasarkan kerana kekurangan permintaan.
Malah, katanya, kini pekebun terpaksa berdepan dengan kesulitan untuk membayar gaji pekerja kerana kekurangan sumber pendapatan.
“Ini satu lagi masalah yang terpaksa kami hadapi. Bagaimana kami dapat membayar gaji sedangkan kami tidak mendapat sebarang keuntungan.
“Lagikan pula kita tidak dapat membuat produk berasaskan sayuran. Sebab itu sayur yang dituai, yang tidak dapat dipasarkan, rosak terpaksa kami buang begitu sahaja. Itu yang menyedihkan,” katanya. - Sinar Harian