Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek yang juga pengawal keselamatan berusia 35 tahun itu sedang dirawat di hospital swasta dan akan ditahan selepas dibenarkan keluar dari wad untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa berumur 80 tahun berhubung kemalangan jalan raya membabitkan kedua-dua individu itu.
Soffian berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membawa seorang penumpang dan berhenti di lokasi sebelum suspek kemudian melanggar kereta mangsa sehingga menyebabkan bumper jatuh dan lampu kereta sebelah kanan pecah.
"Apabila mangsa turun dari keretanya dan bertanyakan kepada suspek berkaitan kerosakan keretanya dan mangsa telah nasihatkan suspek untuk membuat laporan polis, namun suspek tiba-tiba menyerang mangsa menggunakan topi keledar.
"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan luka dan lebam di bahagian muka selain beberapa jahitan di kepala," katanya ketika dihubungi di sini.
Sebelum ini, tular video kejadian berkenaan di laman sosial sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati warganet.
Rata-rata warganet menyelar perbuatan lelaki berkenaan yang mengasari warga emas dengan topi keledar dan berharap tindakan setimpal dikenakan terhadap lelaki berkenaan. - Sinar Harian