Dalam operasi jam 10.15 pagi itu, lelaki berusia 60 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan dengan menjual makanan bungkus itu untuk kaki ponteng puasa seawal jam 8.30 pagi sejak awal Ramadan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan maklumat awam yang diterima, sepasukan dari 10 anggotanya melakukan serbuan di lokasi terbabit dan mendapati lelaki itu sedang menunggu pelanggan.
Beliau berkata, ketika itu ada seorang pelanggan baru hendak membeli makanan di situ namun berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggotanya di situ.
"Berikutan itu, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana menjual makanan bungkus kepada orang Islam yang tidak berpuasa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya di sini hari ini.
Radzi berkata, modus operandi yang dilakukan lelaki itu ialah dengan siap membungkus nasi dan lauk sebelum memasukkan dalam plastik hitam dan menjualnya kepada pelanggan yang datang.
Dalam serbuan berasingan di kedai makan bukan Islam, seorang lelaki berusia 50 tahun tidak sempat minum air sebelum dia disoal siasat anggota penguatkuasa JAIK kerana tidak berpuasa.
Radzi berkata, lelaki itu memberi alasan baru pulang dari meracun rumput di sawah dan singgah di situ untuk minum.
Bagaimanapun katanya, pihaknya hanya memberi amaran kepada lelaki itu supaya beredar dari kedai makan berkenaan untuk mengelak dari ditangkap.
"Operasi berakhir jam 11.30 pagi tadi dan kita hanya memberi notis kepada lelaki yang ditahan kerana mengambil langkah pencegahan stardart operasi untuk mengelak jangkitan Covid-19.
"Kita akan melakukan operasi dari masa ke semasa untuk membendung kegiatan mereka yang menjual makanan kepada kaki ponteng puasa dan mereka yang tidak berpuasa di negeri ini kerana tidak menghormati bulan Ramadan," katanya. - Berita Harian Online