Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan parti baru pada jam 4 petang ini, menurut sumber.
Menurut sumber, Mahathir dijangka mengadakan sidang akhbar di Yayasan Al Bukhary atau sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi mengumumkan penubuhan parti baru itu.
“Ia dijadualkan pada jam empat petang. Undangan media (ke acara itu) akan dikeluarkan tidak lama lagi,” kata sumber yang dekat dengan Mahathir.
“Tun mungkin akan bercakap di sebuah hotel di Bangsar, boleh tunggu di sana,” kata satu lagi sumber.
Langkah itu diambil selepas beberapa jam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin Yassin untuk mengetepikan saman Mahathir dan empat lagi anggota parlimen yang mencabar pemecatan mereka daripada Bersatu.
Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi untuk membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Dr Mahathir sebelum ini menyaman Muhyiddin dan beberapa lagi memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli BERSATU yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.
Mereka memohon perisytiharan bahawa semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu tidak sah dan terbatal.
Keahlian Dr Mahathir bersama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa ahli dalam BERSATU tergugur kerana duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Yang turut tergugur keahlian adalah bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.
Berikutan itu, pencalonan Dr Mahathir bagi jawatan pengerusi, Mukhriz bagi jawatan timbalan presiden dan Syed Saddiq bagi jawatan Ketua ARMADA untuk pemilihan BERSATU, turut tergugur.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan parti baru itu akan dikenali sebagai Parti Bersatu Rakyat Malaysia.