4 Remaja Direman Kes Buli Warga Emas


PASIR PUTEH – Empat remaja yang dipercayai terlibat dalam kes buli seorang wanita warga emas di Banggol Pauh, Bekelam dekat Bachok Rabu lalu direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor ke atas remaja terbabit yang dipercayai membuli warga emas berusia 67 tahun di Banggol Pauh, Bekelam, Bachok Khamis lalu.

Kesemua remaja itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Bagaimanapun, dua lagi remaja lelaki berusia 18 dan 15 tahun termasuk perakam video tular itu ditahan selepas menyerah diri pada jam 5.30 petang hari yang sama.

Terdahulu, mereka tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Pasir Puteh di sini hari ini pada pukul 9.50 pagi dengan menaiki van polis.

Mereka kelihatan sugul selepas mahkamah menetapkan tahanan reman terhadap mereka.

Difahamkan dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu juga merupakan anak sepupu mangsa. Warga emas berkenaan mendakwa mengalami lebam dan sakit pada bahagian lengan selepas dilastik remaja berkenaan.

Warga emas itu yang juga ibu tunggal memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam Rabu lalu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya seorang diri.

Katanya, dia didatangi kira-kira enam remaja termasuk anak sepupunya yang cuba menendang dan melastiknya

Kelmarin, tular video berdu­rasi 30 saat di laman sosial yang memaparkan sekumpulan remaja lelaki tergamak mengganggu dan membuli seorang wanita warga emas, Wan Bidah Wan Deraman, 67, sehingga dia terpaksa melarikan diri.

Ekoran kejadian itu mangsa, Wan Bidah Wan Deraman, 67, dari Kampung Banggol Pauh, Bachok mendakwa mengalami lebam dan sakit pada bahagian lengan selepas dilastik menggunakan batu oleh dua remaja tersebut.