Seorang lelaki yang menumbuk anggota bomba selepas terlibat kemalangan jalan raya di Cheras Perdana pada Khamis direman empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kajang, Sharifah Fazilah Zulkefli bermula 16 Oktober hingga 19 Oktober.
Dalam kejadian pada Khamis, suspek yang merupakan seorang pengurus acara menumbuk seorang anggota bomba selepas dia dihalang menghampiri keretanya yang terbakar.
Malah, suspek bertindak agresif dan mengamuk di lokasi sehingga menyebabkan anggota bomba bergelut dan terpaksa menahannya.
Sebelum itu, kenderaan dipandu suspek melanggar dua buah kenderaan lain dan mengakibatkan kenderaannya mengalami kerosakan teruk dan terbakar.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 / 353 Kanun Keseksaan dan siasatan kes kemalangan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kes terbabit tular di media sosial dengan beberapa rakaman video memaparkan suspek menumbuk anggota bomba dan mengamuk sebelum berjaya ditahan.