Wanita Rugi RM480,000 Ditipu Teman Lelaki Luar Negara


KOTA BHARU: Ingin mengelakkan wang perbelanjaan kahwin yang dikirimkan 'teman lelaki' dari luar negara dibekukan, seorang ibu tunggal kerugian RM480,000.

Mangsa berusia 50-an yang juga pesara kerajaan dijanjikan akan menerima wang persediaan perkahwinan RM650,000 sebelum diminta membuat sejumlah bayaran bagi mengelakkan separuh daripada transaksi kononnya sudah dibuat oleh kenalannya itu dibekukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata mangsa berasal dari Gua Musang, dekat sini, dan berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Facebook, pada September lalu.

"Kenalan lelakinya itu kononnya menetap dan bekerja dalam industri minyak dan gas, di United Kingdom dan menyatakan ingin menghantar mangsa wang perbelanjaan perkahwinan berjumlah RM650,000.

"Pada hujung September lalu, mangsa dihubungi seorang wanita kononnya bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan rakan Facebook mangsa sudah memindahkan sejumlah wang ke BNM untuk diproses.

"Mangsa diminta membuat bayaran bagi mengelakkan wang itu dibekukan dan dalam tempoh kurang daripada dua minggu, mangsa sudah membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah lebih RM480,000 ke satu akaun bank milik 'pegawai BNM' itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, sebaik menyedari sudah tertipu, mangsa tampil membuat laporan polis, semalam dan kerugian itu adalah yang terbesar dicatatkan bagi kes Love Scam, di Kelantan untuk tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan dikenakan denda.

"Love atau parcel scam adalah antara kes jenayah siber yang kerap dilaporkan dan kami ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan oleh individu yang hanya berhubung secara dalam talian sahaja.

"Dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya mendapat panggilan yang meragukan terutama yang meminta bayaran atau maklumat kewangan atau akaun bank," katanya. - Berita Harian Online