Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memulakan proses untuk menyita AS$ 330 juta (RM1.343 bilion) dari sebuah firma undang-undang terkemuka di United Kingdom.
DOJ, melalui Badan Jenayah Nasional UK, mengeluarkan waran itu di pejabat London Clyde & Co.
Waran itu mensasarkan AS$ 330 juta yang dikawal oleh Clyde & Co bagi pihak pelanggan di National Westminster Bank, menurut media UK, The Guardian yang melihat dokumen mahkamah.
DOJ percaya wang itu dikaitkan dengan dana yang diselewengkan dari 1MDB.
DOJ pada tahun 2016 memperincikan tiga fasa di mana dana yang berkaitan dengan 1MDB disalurkan secara sistematik melalui rangkaian transaksi yang kompleks.
Pada tahun 2017, ia juga mendedahkan fasa keempat di mana rangkaian transaksi "skim penipuan Ponzi" dirancang untuk menyembunyikan fakta bahawa wang berkenaan telah dicuri.
Tindakan DOJ terhadap Clyde & Co adalah khusus untuk fasa pertama, yang melibatkan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International.
Dirujuk sebagai fasa Good Star / PetroSaudi, sebanyak AS$ 700 juta daripada AS$ 1 bilion bagi tujuan usaha sama itu dialihkan ke syarikat milik ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, pada tahun 2009.
Baki AS$ 300 juta lagi dikawal syarikat usaha sama itu. Rakan usaha sama berkenaan, PetroSaudi International, dikendalikan oleh ahli perniagaan Saudi Tarek Obaid bersama dengan seorang putera Saudi.
Antara tahun 2010 dan 2011, 1MDB menyalurkan AS$ 830 juta dalam usaha sama itu, dengan AS $ 330 juta lagi dialihkan kepada syarikat Low dengan cara serupa.
Menurut DOJ, wang yang dialihkan kepada Low digunakan untuk membeli pelbagai harta tanah dan saham di AS dan UK.
Ia juga digunakan untuk pembayaran tunai sebanyak AS$ 20 juta untuk perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan membiayai syarikat produksi anak tirinya Riza Shahriz Abdul Aziz bagi menerbitkan filem "The Wolf of Wall Street".
Namun, tidak banyak diketahui mengenai wang yang masih berada dalam kawalan PetroSaudi - yang kini disasarkan oleh DOJ.
The Guardian, memetik dokumen mahkamah, mengatakan PetroSaudi menggunakan dana 1MDB untuk membeli dua buah kapal terpakai, yang digunakan untuk mendapatkan kontrak dengan PetrĂ³leos de Venezuela (PDVSA) milik negara Venezuela.
Setelah PDVSA enggan membayar invois PetroSaudi di Venezuela, PetroSaudi meminta pembayaran melalui 'standby credit' dari sebuah bank Portugal, kata laporan itu.
PetroSaudi dianugerahkan AS$ 380 juta oleh Tribunal Timbang Tara setelah PDVSA gagal mengemukakan cabaran, dan jumlah itu dimasukkan ke akaun escrow Clyde & Co.
DOJ menyatakan bahawa wang itu adalah hasil penipuan terhadap 1MDB.
PetroSaudi menyaman Clyde & Co tahun lalu setelah firma guaman itu menolak permintaan perusahaan minyak tersebut untuk melakukan pembayaran dari akaun escrow, dengan alasan bimbang ia boleh dikenakan tuduhan jenayah jika membenarkan transaksi berkenaan.
Laporan itu mengatakan DOJ menggambarkan usaha PetroSaudi untuk memaksa Clyde & Co membayar wang itu sebagai "serangan cagaran" (collateral attack) terhadap usaha penyitaannya.
Clyde & Co mengatakan ia mengawal dana tersebut selaku pengarah tribunal timbang tara dan menyatakan bahawa ia mematuhi kewajiban undang-undang dan peraturan.
Laporan itu mengatakan PetroSaudi dan Obaid tidak memberikan respons terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas. - Malaysiakini