Pasangan Pengantin Dengan 17 Pengiring Ingkar PKP Ditahan


Seramai 19 orang termasuk pasangan pengantin ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sesi bergambar di tepi sungai berdekatan Taman Nilam di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Shariman Ashari berkata, pasangan pengantin dan pengiring yang berpakaian sedondon ditahan ketika sedang leka bergambar di kawasan tersebut pada pukul 6.30 petang.

Menurutnya, mereka yang ditahan itu ialah dua lelaki dan 17 wanita berusia antara 18 hingga 27 tahun.

Sementara itu, katanya, pasangan pengantin yang berasal dari pulau peranginan itu pula berusia 28 dan 24 tahun.

“Ketika ditahan, pasangan pengantin dan individu yang ditahan itu masih berpakaian sedondon untuk sesi bergambar,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shariman, kesemua mereka dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang atas kesalahan tersebut. – K! ONLINE