Suami Tikam Isteri Sampai Mati Sebelum Bunuh Diri Di Taman Kimsar, Perai


Seorang lelaki dipercayai bertindak membunuh isterinya dengan menikam mangsa sehingga mati sebelum dia membunuh diri, dipercayai bermotifkan cemburu, dalam kejadian di rumah mereka di Taman Kimsar, Perai di Pulau Pinang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra'ais berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak lelaki pasangan tersebut yang berusia 28 tahun, pada 3 petang tadi memaklumkan menemui mayat ibu dan ayahnya di rumah tersebut.

“Sepasukan polis terus ke lokasi kejadian dan pemeriksaan menemui mayat seorang wanita, dengan tiga kesan tikaman di bahagian leher, dada dan perut mangsa, di dalam bilik di rumah didiami pasangan tersebut. Wanita itu berusia 54 tahun.

“Manakala mayat lelaki iaitu suami wanita itu ditemukan di bahagian dapur dengan keadaan tergantung, dipercayai dia bertindak sedemikian (bunuh diri) selepas membunuh isterinya dengan cara menikam mangsa. Suspek berusia 65 tahun,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan kejadian bunuh dan bunuh diri itu berpunca daripada perselisihan faham dan cemburu, membabitkan pasangan suami isteri tersebut.

Rahimi berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian bunuh itu, dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

“Pasangan suami isteri itu tidak bekerja dan menurut anak lelakinya, anak-anak yang menyara kehidupan ibu dan ayah malah mereka tinggal tidak jauh daripada rumah pasangan tersebut,” katanya.

Katanya mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Menurutnya pihak polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- Bernama