Karangan Mengenai Kemalangan, Jadi Kenyataan Buat Pelajar


KUALA LUMPUR: Allahyarham Danial Danish Mohd Ali, 14, yang maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 pada Sabtu lalu, bagaikan 'tahu' apa yang akan berlaku tiga hari sebelum menemui ajal dalam nahas terbabit.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati itu seakan-akan mendapat firasat mengenai percutian keluarganya akan bertukar tragedi dalam satu karangannya ketika peperiksaan pada Rabu minggu lalu.

Danial menulis satu karangan Bahasa Melayu yang menceritakan kenderaan keluarganya mengalami kemalangan jalan raya.

Menerusi karangan itu, dia menulis 'pada ketika itu di tengah jalan raya tengah sesak dan ada kereta merempuh kereta keluarga saya. Selepas dia merempuh dan kereta saya tidak boleh bergerak langsung'.

Dia juga menulis 'keluarga saya telefon 'towing' (trak tunda), saya dan mak saya ikut orang yang menolong di tempat tadi dan kita orang duduk di tempat rehat dari pukul 6 petang hingga pukul 3 pagi'.

Dalam karangan itu, Danial juga menulis, 'saya bosan menunggu 'towing' ambil kita orang dan kereta itu 'total lost'.

Memetik laporan FMT, pada malam kemalangan itu berlaku, guru Danish sedang menanda karangan pelajar, termasuk kertasnya.

Selepas mendapat tahu tragedi itu keesokannya, guru terbabit menyemak semula karangan Danial dan terkejut dengan kandungannya.

Ibu saudara Danial, Azlina Mohamad, 44, memberitahu FMT, dia tergamam melihat butiran dalam karangan anak saudaranya.

"Karangan arwah (Danial) mengejutkan saya. Saya tidak tahu apa yang boleh saya katakan mengenainya," katanya.

Tangkap layar karangan sepanjang 159 patah perkataan itu dikongsi bapa saudara Danial, Azreen Mohamad di Facebook.

Beliau menulis, 'Dapat SS (tangkap layar) karangan anak buah yang meninggal, karangan yang ditulis seolah-olah menceritakan hal sebelum kemalangan sebenar berlaku, mungkin isi karangan kebetulan mirip kejadian sebenar, semoga syurgalah tempat kamu, wahai Muhammad Danial Danish'.

Ibu Danial, adik serta tiga sepupunya masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Temerloh.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Danial bersama datuk, Mohmed@Mohamed Shamsuddin, 75 dan neneknya, Kamariah Hamzah, 72, meninggal dunia dalam nahas berkenaan.

Sebuah treler terbabas ke lorong kecemasan merempuh PROTON Exora dinaiki keluarga itu ketika mereka sedang dalam perjalanan untuk bercuti ke Terengganu dari ibu negara.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila PROTON Exora yang mengalami kerosakan sedang dinaikkan ke trak penunda di lorong kecemasan sebelum dirempuh treler terbabit. Turut dirempuh adalah sebuah PROTON Waja dinaiki empat sekeluarga.

Pemandu trak tunda turut terkorban dalam nahas berkenaan. - Berita Harian Online