Ada Ditembak Mati, Dipaksa Jadi Pelacur, NGO Gesa Kerajaan Laos Tubuh 'Task Force' Selamatkan Rakyat Malaysia
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ia bagi meminta kerajaan Laos mengeluarkan kenyataan dan berusaha bersama dengan Kedutaan Malaysia di negara itu untuk membebaskan serta menyelamatkan rakyat negara ini yang terperangkap di Laos terutama di kawasan Golden Triangle.
Menurutnya, mereka juga berharap Kerajaan Laos dapat mengikut contoh Kerajaan Kemboja yang menubuhkan 'Task Force' dalam usaha menghalang kegiatan itu.
"Kita tidak mahu ada tindakan tidak mengikut undang-undang sebab itu kita guna saluran diplomatik dan cara demokratik untuk menyatakan kepada Kerajaan Laos mengenai perkara ini.
"Atas semangat setia kawan Asean dan Kerajaan Malaysia menjaga rakyat Laos di sini, ini juga harapan kita daripada kerajaan negara itu mereka juga perlu menjaga rakyat Malaysia di sana," katanya ketika ditemui di hadapan Kedutaan Laos di sini, hari ini.
NGO lain yang terbabit adalah Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN), Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (SEMBOYAN) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC)
Menurutnya, empat rakyat negara ini berjaya melarikan diri dari Golden Triangle dengan pelbagai cara dan dimaklumkan hari ini terdapat enam lagi individu yang berjaya diselamatkan.
"Rakyat kita di Laos dikurung dan diseksa selain dipaksa terbabit dengan jenayah penipuan, malah ada yang diugut untuk dijual kepada sindiket lain, dilacurkan dan dijual organ mereka.
"Malah, kita dapat maklumat secara tidak rasmi sudah ada kematian berlaku membabitkan sindiket itu dan ada satu kematian direkodkan secara rasmi di Myanmar," katanya.
Sementara itu, penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, mangsa yang selamat digesa membuat laporan polis untuk membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang terbabit dengan kes ini.
"Ini supaya kita dapat menghapuskan aktiviti dan membawa mereka ke muka pengadilan," katanya. - Harian Metro