Di tengah masalah dalaman, Zuraida umum PBM bergerak solo PRU15


Di tengah krisis kepimpinan dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang belum selesai, penyandang kerusi Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengumumkan parti itu akan bertanding secara solo pada PRU15.

Zuraida berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan parti yang diadakan hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu, dia berkata keputusan itu dibuat kerana PBM tidak dapat memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan BN untuk menyertai gabungan itu.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata sebarang isu berhubung perebutan kuasa antara dia dan Larry Sng akan diselesaikan secara dalaman.

"Insyallah, ia akan diselesaikan secara dalaman sebelum 5 Nov," katanya.

Zuraida dilihat cuba mengelak ketika ditanya berhubung penggantungannya daripada PBM, siapa yang akan menandatangani borang pencalonan dan laporan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Sng masih presiden PBM.

Bagi setiap soalan tersebut, dia hanya berkata secara ringkas bahawa ia akan diselesaikan di peringkat dalaman.

Sng tidak hadir pada sidang media hari ini yang diadakan di pejabat PBM di Bukit Antarabangsa di Ampang, Selangor.

Pada Khamis lalu, timbalan presiden PBM Haniza Mohamed Talha berkata Zuraida merupakan presiden yang sah selepas diumumkan pada perhimpunan agung tahunan parti pada Oktober lalu.

Namun Sng mendakwa dia tidak pernah meletakkan jawatannya sebagai presiden dan masih presiden yang sah mengikut rekod ROS.

Semalam, Sng menggantung Zuraida dan 12 ahli majlis tertinggi PBM daripada parti itu.

Dia berkata tindakan itu diambil kerana mereka didapati berterusan menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Sng yang juga pengasas PBM sebelum ini yang turut menggantung setiausaha agung Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid - kedua-duanya adalah sekutu Zuraida. - Malaysiakini