Rakan-Rakan Dan Peminat Nad Zainal Wujudkan Tabung Bagi Bantu Pelakon Terbabit Di (ICU)


Rakan-rakan dan peminat Nad Zainal mengambil inisiatif mewujudkan tabung kecemasan bagi membantu pelakon terbabit yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak minggu lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, tabung kecemasan ini bertujuan menampung kos rawatannya dan membantu meringankan beban keluarganya.

"Bagi semua yang prihatin, mari kita sama-sama berganding bahu untuk bantu bersama. Yang pastinya, jangan kita lupa titipkan doa untuk Nad Zainal agar kembali pulih sepenuhnya dan jangan lupa juga untuk kongsikan hantaran ini agar lebih ramai dapat turut membantu," katanya.
Artikel Berkaitan

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun CIMB 8604978484 atas nama Pertubuhan Kebajikan As Siddiq. Pindahan wang ini perlu disertakan dengan rujukan Nad Zainal.

Untuk pertanyaan lanjut hubungi pembantu peribadi Nad iaitu Echa di talian 012-3458623.

Terdahulu pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin berkata, keadaan Nad semakin baik berbanding sebelumnya.

Menurutnya, pelakon itu sekali-sekala ada membuka matanya dan tidur semula.

"Kadar kebergantungan dia pada mesin oksigen semakin berkurangan. Luka-luka di paru-parunya juga semakin pulih. Paru-paru sudah mula berfungsi dengan lebih baik, cuma doktor tak mahu memaksa sangat.

"Sebahagian ubat ubatan juga ada yang sudah mula dikurangkan doanya dan ada juga diberhentikan bila melihat keadaan Nad semakin stabil. Syukur tak terhingga. Terima kasih Allah mengabulkan doa kita semua. Saya harap kita akan terus berdoa. Selain untuk Nad sendiri kita juga perlu doakan untuk mereka yang memerlukannya," katanya.

Sebagai antara individu yang sangat rapat dengan Nad, Sharulezad terharu dengan doa serta sokongan ramai melihat pelakon itu sembuh seperti sedia kala.

"Saya mewakili keluarga dan sahabat Nad dengan rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas doa doa tulus kalian. Hanya Allah saja yang mampu membalas doa ikhlas kalian," katanya. - Harian Metro