Beijing: Tak ubah seperti babak filem, tiga wanita di China berpakat untuk mendedahkan tindakan teman lelaki yang menipu wang 100,000 yuan (kira-kira RM64,000 ) milik mereka, lapor South China Morning Post.
Semuanya bermula apabila tiga wanita itu pergi ke balai polis di Daerah Yangpu di Shanghai pada 10 Februari lalu, untuk melaporkan tindakan He Shiwei yang memperdaya mereka.
Wanita berkenaan mendakwa Shiwei meminjam wang daripada mereka, tetapi tidak memulangkannya.
Salah seorang wanita itu, Chen Hong berkata, dia mula curiga dengan Shiwei dan memeriksa telefon lelaki itu ketika pasangannya itu tertidur dalam keadaan mabuk.
Dia menemui beberapa mesej daripada wanita lain yang bertanya kepada lelaki itu mengapa tidak menjawab panggilan.
Chen kemudian menghubungi nombor itu dan bercakap dengan seorang wanita bernama Xiao Fan.
Dari situ, Chen mengetahui bahawa Xiao Fan tinggal bersama Shiwei. Biasanya, lelaki itu datang untuk bermalam di flat Xiao Fan.
Ia membongkar tembelang bahawa Shiwei memberitahu kedua-dua wanita itu bahawa dia ingin mengahwini mereka.
Bagaimanapun, ia tidak terhenti di situ. Pada 10 Februari, Chen mendapat panggilan telefon daripada wanita ketiga, bernama Zhao Lin, yang mengatakan dia juga adalah teman wanita kepada Shiwei.
Apabila lelaki itu terjaga dari tidur, Chen menuntut lelaki itu memulangkan wangnya.
Lelaki itu enggan menyebabkan ketiga-tiga wanita itu membuat laporan polis.
Apa yang mengejutkan, siasatan menunjukkan mereka sebenarnya berkongsi teman lelaki sama. Lelaki itu menjalin hubungan dengan Chen sejak Oktober 2022, Xiao (sejak Jun 2022) dan Zhao (sejak 2021).
Siasatan polis mendapati Shiwei berhenti kerja pada 2020 dan menganggur sejak itu. Oleh itu, dia
menggunakan wang daripada wanita itu untuk membayar hutangnya.
Sementara itu, tiga wanita itu kini menjadi kawan baik dan bercuti bersama-sama ke luar negara ketika lelaki itu menjalani hukuman penjara dua tahun enam bulan kerana menipu wang mereka. Harian Metro