Menteri Umum Kenaikan Kadar Elektrik




Kira-kira 83,000 pengguna akan dikenakan kenaikan sebanyak 25 peratus, atau RM187, dalam bil elektrik bulanan, bermula bulan depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kenaikan itu hanya melibatkan satu peratus pengguna domestik, dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj atau bil elektrik minimum RM708 sebulan.

Dia berkata pengguna elektrik dalam kategori tersebut akan dikenakan surcaj sebanyak 10 sen/kWh.

"...Pengiraan kita berdasarkan penggunaan, bukan pendapatan. Buat masa sekarang, ia bagi penggunaan tinggi sebanyak RM700 sebulan atau ke atas.

"Secara asasnya, kita menggalakkan penjimatan tenaga dan penggunaan yang efisien," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Di sebalik kenaikan itu, katanya lagi, kerajaan tetap memperuntukkan subsidi khas berjumlah RM58 juta memandangkan mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) belum dimansuhkan sepenuhnya.

"Pengguna boleh lihat jumlah subsidi yang diberi kerajaan dalam bil elektrik bulanan mereka," katanya lagi.

Mekanisme ICPT di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) membolehkan Tenaga Nasional Berhad menyelaraskan tarif elektrik setiap enam bulan, berdasarkan harga global bahan api.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata 99 peratus pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik 1,500 kWh ke bawah tidak akan dikenakan kenaikan.

Dia berkata demikian ketika mengumumkan peruntukan subsidi elektrik berjumlah RM5.2 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini.

Pengguna bukan domestik, seperti perusahaan kecil dan sederhana dalam kategori tarif voltan rendah dan tarif pertanian spesifik, juga tidak akan dikenakan kenaikan kadar elektrik untuk tempoh enam bulan akan datang, katanya lagi.

Katanya lagi, kategori pengguna bukan domestik yang baru, iaitu operator air dan pembetungan, akan diberi pengurangan kadar surcaj dari 20 sen/kWh kepada 3.7 sen/kWh untuk tempoh yang sama.

Nik Nazmi berkata keputusan untuk memasukkan kategori itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik kemampuan dan kapasiti operator air dalam menyediakan air bersih dan terawat kepada pengguna.

Pengguna bukan domestik, iaitu pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam sektor perindustrian, pula akan menikmati pengurangan kadar surcaj daripada 20 sen/kWh kepada 17 sen/kWh, katanya lagi.

"Ini bermakna pengguna bervoltan sederhana dan tinggi bukan domestik akan menikmati pengurangan bil elektrik antara 28 hingga 35 peratus," katanya lagi.

Nik Nazmi menyuarakan harapan subsidi yang diberikan akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa sama memastikan perkembangan ekonomi diteruskan.

Dia berkata kementeriannya komited dalam peralihan ke arah penggunaan tenaga yang lestari dan tenaga boleh diperbaharui dengan menggalakkan orang ramai memasang sistem Photovoltaic (PV) untuk mengawal bil elektrik mereka.

Justeru, katanya, kerajaan melonggarkan sejumlah syarat Program Net Energy Metering (NEM) dan Program Self-Consumption for Solar PV Installation (SelCo) berkuat kuasa 15 Julai ini. - Malaysia Kini