Suami Mohon Bantuan, Isteri Sakit Kanser Tahap Empat 😭


TAMPIN: Seorang suami yang mengalami masalah kewangan memohon bantuan orang ramai bagi membeli kelengkapan dan keperluan perubatan isterinya yang menghidap barah payudara tahap empat.

Mohd. Hazrin Jaafar, 40, dari Felda Jelai 2, Gemas di sini memberitahu, isterinya, Norasikin Isa, 40, disahkan menghidap barah tersebut sejak dua tahun yang lalu.

Jelasnya, sebelum ini dia tidak menguar-uarkan penyakit dihadapi isterinya itu kerana masih mempunyai wang simpanan.

“Saya kini terpaksa menangguhkan bayaran ansuran kenderaan kerana gaji yang diperoleh sebanyak RM1,200 sebulan diutamakan buat pembelian lampin pakai buang serta keperluan dressing (pembebatan) yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

“Saya pernah memohon bantuan, namun, borang permohonan saya dikatakan tidak lengkap dan gaji saya yang melebihi had kelayakan. Ada sekali wang masuk ke dalam akaun isteri, namun, saya tidak tahu sama ada ia dari bantuan yang dimohon atau sumbangan individu lain.

“Dua ke tiga bulan ini memang mencabar kerana saya juga harus mengambil cuti seminggu ke dua minggu menguruskan isteri yang barahnya sudah merebak ke bahagian paru-paru pula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

“Bagaimanapun saya bersyukur apabila majikan bertolak-ansur dan turut memberi kelonggaran untuk saya datang ke tempat kerja sekitar pukul 10 pagi untuk menguruskan isteri terlebih dahulu,” katanya yang mempunyai dua orang anak berusia 15 dan lapan tahun.

Orang ramai atau mana-mana pihak yang mahu membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0540041000095669 atas nama Mohd. Hazrin Jaafar. -UTUSAN