Tahniah.. Janna Nick Dan Dini Schatzmann 🥰🥰


Pasangan pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann selamat melangsungkan pernikahan dalam satu majlis tertutup di Masjid A’ishah Sungai Menghulu, Langkawi jam 8.35 pagi tadi.

Dini dinikahkan sendiri oleh bapa Janna, Muner Abdullah, bersaksikan pengerusi masjid itu, Othman Yahya, serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.

Dini atau nama penuhnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, menyerahkan mas kahwin berninai RM2,703 bersama seutas rantai emas kepada Janna.

Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.

Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan tersebut.

Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar.

Pasangan tersebut seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.

Malam tadi berlangsung majlis doa selamat dan bacaan Yasin yang turut dihadiri penceramah, Wadi Annuar Ayub, dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua mempelai.

Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner, 28, berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada single ke isteri dan insya-Allah, seorang ibu.

“Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baru saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” katanya dalam kenyataan.

Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Dini, 28, juga teruja untuk memulakan fasa perjalanan kehidupan baru sebagai seorang suami dan mengharapkan agar setiap langkah mereka melayari bahtera perkahwinan diberkati.

“Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia, maksimum. Rasa lega jua, majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baru kami sebagai suami isteri.

“Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna untuk keluarga kami.

“This is a once in a lifetime moment in our life. Kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua,” ujar Dini.

Katanya, mereka memilih Koh Lipe, Thailand, sebagai lokasi berbulan madu.

“Kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana penggambaran drama sudah bermula.

“Tapi kesempatan bercuti ini kami tetap bercuti bersama di Koh Lipe. Ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” katanya.

Bercakap mengenai kerjaya seni dan soal perancangan zuriat, Janna berkata, mereka bakal meneruskan kerja-kerja seni dan bersedia sekiranya dikurnia rezeki cahaya mata.

“Kita serahkan kepada Allah. Jika rezekinya awal, alhamdulillah. Kami terbuka dan bersedia.

“Sekiranya ada rezeki, mungkin saya akan mula memperlahankan kerjaya seni dan fokus kepada perancangan keluarga,” kongsinya. - Malaysiakini