Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket berkenaan mengenakan caj mencecah RM7,500 bagi setiap RTK didaftarkan.
Menurutnya, program RTK 2.0 yang sepatutnya percuma diputarbelit oleh sindiket terbabit dengan mendaftarkan nama buruh asing yang terdesak sebagai pekerja di syarikat proksi dimiliki warga tempatan.
"Kartel warga asing ini mengambil kesempatan daripada program RTK 2.0 iaitu inisiatif baik oleh kerajaan untuk membolehkan warga asing (tanpa permit kerja) dalam negara mendapatkan permit kerja (dengan syarat tertentu).
"Namun pekerja asing terbabit diperdaya oleh bangsa mereka sendiri apabila terdesak mendapatkan permit kerja yang sudah tamat tempoh atau berada lebih masa di Malaysia," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, pihaknya menerima aduan daripada warga asing yang terpedaya mendakwa mereka diugut oleh sindiket terbabit supaya tidak membuat laporan polis.
Katanya, kartel terbabit mendaftarkan sebanyak mungkin buruh asing tanpa permit menerusi program RTK2.0 di bawah syarikat proksi milik mereka.
Menurutnya, buruh asing terbabit kemudiannya akan dibekalkan semula kepada kontraktor atau majikan tempatan yang memerlukan buruh asing.
"Kumpulan kartel ini sebenarnya membuat duit dengan perniagaan sumber manusia yang mereka ada itu.
"Ada antara mereka yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia sebelum program RTK 2.0 bermula.
"Kemudian mereka mengambil kesempatan mendaftarkan di bawah program kerajaan itu bagi mendapatkan keuntungan," katanya.
Katanya, pekerja asing yang berdaftar di bawah kartel terbabit akan dilapor kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk disenarai hitamkan jika mereka cuba mendapatkan RTK menerusi syarikat lain.
Ia membuatkan mangsa-mangsa takut untuk membuat aduan kerana khuatir akan dihantar pulang selepas disenarai hitam oleh pihak berkuasa terbabit. - hmetro.com.my