Katanya, ada 'sesuatu' yang mencetuskan dan membangkitkan keadaan mental tidak stabil terhadap Aliff yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu.
"Saya tahu dia akan berubah sebab saya nampak dia solat. Dia okey, cuma ada benda yang tidak kena sampai mengakibatkan mentalnya menjadi kurang stabil.
"Saya juga bukan sejenis orang yang suka jatuh hukum lebih-lebih lagi apabila hanya dia seorang sahaja dipersalahkan dalam isu khalwat, baru-baru ini," katanya kepada Harian Metro.
Diajukan mengenai rasa kasih terhadap suami kepada pelakon Bella Astillah itu, Sarah mengakui masih menyimpan perasaan.
Kata wanita berusia 24 tahun itu, walaupun pelbagai episod pahit dilalui sepanjang beberapa bulan bercinta, perasaannya masih sama seperti dulu.
"Apabila bercakap membabitkan perasaan, memang ada lagi. Bukan satu hari cinta terus hilang.
"Jujur ada lagi, saya pun pernah beritahu Bella mengenai perasaan saya," katanya.
Sejak Isnin lalu, arena hiburan panas apabila wanita itu menyelak rahsia Aliff dan Ruhainies termasuk dakwaan mereka bercinta, selain dikatakan menggunakan Aliff untuk menjatuhkan Bella.
Pendedahan dibuat Sarah turut mengheret lebih ramai selebriti termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong serta pasangan suami isteri, Tom dan Fuad Rahman.
'Drama' semakin panas apabila nama pelakon Meerqeen juga dipetik selepas pelakon tersebut mengaku hanya mengenalinya sebagai peminat, namun Sarah mengatakan hubungan mereka lebih daripada itu. - Harian Metro.