Kemas Rumah, Jumpa Rangka Ibu Yang Dah Hilang 10 Tahun Lalu.


Tokyo: Menggemparkan apabila tukang cuci profesional yang diupah untuk mengemas rumah seorang lelaki Jepun terjumpa rangka manusia yang kemudian dikenal pasti sebagai ibu kandung pemilik kediaman itu yang hilang sejak sedekad lalu.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, penemuan mengerikan di wilayah Kyoto Jepun mengejutkan dan menarik perhatian netizen di China.

Lelaki muda itu mengupah sebuah syarikat pembersihan untuk membersihkan empat bilik tidurnya, yang dipanggilnya sebagai rumah sampah.

Rumah itu pernah didiami bersama ibu bapa dan kakaknya dengan tidak seorang pun berminat untuk mengemas kediaman itu.
Disyorkan

Lelaki itu bagaimanapun tinggal bersendirian di rumah itu selepas ibunya 'hilang' kira-kira 10 tahun lalu.

Bapanya meninggal dunia beberapa tahun kemudian dan kakaknya berpindah untuk bekerja.

Memandangkan dia mendapat pekerjaan baharu dan mahu berpindah, lelaki itu mengupah syarikat pembersihan profesional yang menghantar lapan pekerja untuk menyelesaikan kerja itu dalam masa tujuh jam.

Bagaimanapun, selepas tiga jam bekerja, pekerja terbabit membuat penemuan mengejutkan.

Ketika mereka mengangkat selimut dan tempat tidur lama, mereka melihat tulang manusia dan pada mulanya, mereka menyangka ia adalah model rangka manusia sebelum memaklumkan pemilik rumah.

Mengesyaki rangka itu milik ibunya, pemilik rumah berkenaan segera menghubungi polis, yang kemudian mengesahkan perkara berkenaan.

Lelaki itu berkata, ibunya mungkin meninggal dunia di dalam bilik.

Menurutnya lagi, ibu sering meninggalkan rumah selama berhari-hari tanpa notis dan jarang bercakap dengan sesiapa.

"Kemungkinan ibu saya kembali selepas beberapa hari pergi dan tiada sesiapa dalam keluarga yang menyedarinya.

"Oleh kerana rumah itu dipenuhi dengan sampah yang berbau busuk, tiada siapa yang menyedari bau yang luar biasa," katanya.

Punca kematiannya dan sebarang kemungkinan kesan undang-undang terhadap keluarga itu belum didedahkan.

Kerja pembersihan akhirnya selesai pada Februari lalu, menelan belanja 500,000 yen (kira-kira RM15,027).- Harian Metro