Video: Pergaduhan Di Sebuah Restoran Tular


POLIS kini memburu dua lelaki yang terlibat dalam kejadian pergaduhan di sebuah restoran dekat Jalan Tok Ungku, Seremban pada pukul 11 malam hari Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang lelaki berbangsa Cina yang mendakwa telah dipukul oleh dua kenalan pada pukul 4.25 petang kelmarin.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa yang berada di restoran terbabit telah dipukul dua lelaki berbangsa Cina dengan menggunakan tangan dan kerusi di bahagian badan serta kepala.

“Punca pergaduhan dipercayai bermula dengan pergaduhan mulut berkaitan isu peribadi.

“Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan dan telah menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, polis kini telah mengenal pasti suspek dan usaha mengesan serta membuat tangkapan sedang giat dijalankan.

Kes disiaasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Amram Ismail di talian 019-9661346.

Sejak semalam tular sebuah video berdurasi 42 saat memaparkan aksi tiga lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran.

Menerusi video dapat dilihat seorang lelaki berbaju hijau terbaring di atas jalan selepas dipukul oleh dua lelaki dengan menggunakan tangan dan kerusi.

Oleh Farwizah Samsudin -August 21, 2024 -Utusan TV