Wanita Ini Terima Padah, Gara- Gara Buat Hantaran Jelik Di TikTok


Kuala Terengganu: Seorang wanita didenda RM4,500 oleh Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membuat hantaran jelik di aplikasi TikTok,

Tertuduh, Eni Nooryanie Mohamad, 42, turut berdepan hukuman tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menerusi aplikasi TikTok pada 25 April tahun lalu kira-kira 10 malam.

Hantaran itu disedari mangsa yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada keesokannya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah 233(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim. - Harian Metro